Sabtu, 5 September 2009

Sistem Piramid

To all my dear friends, berhati2...Jauhi “Sistem Piramid” Multi Level MarketingKongsi
Assalamu'alaykum.
berikut adalah petikan dari blog Soal-Jawab Agama: http://ilmudanulamak.blogspot.com, kendalian Ust. Ahmad Adnan Fadzil)

*******************************************************************************
Sistem Piramid yang kita maksudkan ialah satu sistem di mana kumpulan orang di bawah membayar kepada orang-orang yang berada di peringkat atas. Setiap peserta baru membayar supaya berpeluang mara ke tahap paling atas dan mendapat keuntungan daripada bayaran orang lain yang menyertai skim itu kemudian. Penaja atau pemilik skim ini tidak mengambil berat tentang penjualan barang/produk, tetapi mengambil berat tentang keuntungan yang dikaut melalui wang yang diperolehi dari ahli-ahli baru.
Di antara ciri-ciri Skim Piramid ini ialah:
1. Produk berkualiti rendah dengan harga mahal dan para pengedar baru perlu membelanjakan wang ke atas inventori barangan yang berlebihan (unsur penipuan / gharar).
2. Yuran keahlian yang tinggi serta komisyen kepada setiap peserta yang dapat menarik ahli baru.
3. Tiada hak pemulangan wang dan tiada kontrak bertulis di antara syarikat dan pengedar.
4. Tidak mengambil berat tentang jualan runcit dan penghasilan wang dengan mengembangkan jumlah keahlian di bawah para pengedar.
5. Kehadiran wajib pada sesi latihan yang mahal.
6. Dakwaan perolehan wang dan kejayaan besar yang sengaja direka-reka serta digembar-gemburkan.
(Amar Said, Persatuan Pengguna Pulau Pinang)

Apa yang jelas di dalam Sistem Piramid ini, yang menjadi fokus bukanlah penjualan barangan/produk, tetapi penaajaan ahli baru di mana keuntungan dikaut dari yuran keahlian yang tinggi bukan melalui kegiatan perniagaan. Bonus diberikan hasil dari kutipan dari orang-orang dibawah, bukan dari keuntungan barangan/produk yang dijual. Melihat kepada konsep dan ciri-ciri di atas, jelas bahawa Sistem Piramid tersebut bertentangan dengan Syari’at Islam kerana terkandung di dalamnya unsur-unsur penipuan, pemerasan, gharar (ketidakjelasan salam dalam akad), ghabn fahiysh dan sebagainya yang diharamkan oleh Syarak dalam urusan perniagaan atau jual-beli.

Harga barangan/produk

Dr. Muhammad Bakr Ismail (salah seorang ulamak dari al-Azhar, Mesir) menjelaskan dalam buku himpunan fatwanya; “Tidak ada di dalam Islam batasan tertentu bagi keuntungan (yang harus diambil dalam perniagaan atau jual-beli) mengikut pandangan yang paling soheh dari para ulamak Islam. Peniaga hendaklah menetapkan harga mengikut kadar yang diredhai olehnya dan juga diredhai oleh pembeli. Ini kerana akad jual-beli terbina di atas saling redha-meredhai antara penjual dan pembeli sebagaimana firman Allah; “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara saling redha-meredhai di antara sesama kamu”. (an-Nisa’: 29) (Lihat; Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, hlm. 108).

Dari fatwa di atas kita dapat simpulkan dua perkara berkenaan penetapan harga barang/produk;
a) Tidak ada batasan tertentu dari Syarak bagi keuntungan yang harus diambil dari produk yang dijual. Jadi, penentuan harga produk/barangan terserah sepenuhnya kepada penjual/pengeluar.
b) Namun begitu, para penjual/pengeluar hendaklah mengambil kira keredhaan pengguna terhadap harga yang ditetapkan. Tidak harus ia melakukan penipuan harga atau ghabn fahisyh (yakni beza harga yang keterlaluan dari harga sebenar di pasaran) yang menyebabkan pembeli hilang perasaan redhanya terhadap jual-beli apabila mereka mengetahui nilai sebenar di pasaran. Contohnya; menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran, seperti; menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.

Demikianlah beberapa panduan penting untuk mengukur sama ada sesuatu MLM itu harus atau tidak di sisi Syarak. Panduan tersebut bukan sahaja berguna untuk orang ramai, tetapi juga untuk pemilik syarikat yang menjalankan MLM untuk melihat sama ada sistem yang mereka guna menepati Syariat atau tidak.

Wallahu A’lam.

Lampiran 1

SYARAT-SYARAT MLM HALAL MENURUT UST HJ ZAHARUDDIN HJ ABD RAHMAN

(Dipetik dari arikel beliau; “Isu Shariah Dalam Perniagaan MLM” dalam laman web; www.zaharuddin.net)

1. Produk MLM ini mestilah dibeli dengan tujuan yang sebenarnya (seperti produk yang benar-benar bermanfaat dan dibangunkan dengan serius seperti ubat-ubatan berkualiti, unik dan lainnya). Justeru, produk MLM yang kabur kualiti dan kegunaannya tidaklah dibenarkan kerana ia hanyalah bertujuan untuk mengabui dalam undang-undang dan hukum Shariah, ia tiadalah halal di sisi Shariah. Justeru, kekuatan MLM itu ialah kepada produknya yang bermutu dan bukan kepada objektif jangka pendek mengumpul dana (modal).

2. Produknya bukan emas dan perak yang boleh dijual beli secara tangguh. Ini kerana penjualan barangan emas secara tangguh adalah Riba jenis Nasiah.

3. Komisyen yang diberikan kepada ahli untuk setiap penjual dan ahli bawahannya mestilah jelas. Tiada komisyen tanpa usaha, ini bermakna orang atas hanya berhak mendapat komisyen dari ahli bawahan yang dibantunya sahaja.

4. Keuntungan dan komisyen bukan berdasarkan ‘kepala' atau ahli yang ditaja, tetapi adalah berdasarkan nilai produk yang berjaya di jualnya. Ini diperlukan bagi membuktikan ia menumpukan kepada perniagaan penjualan produk dan perkhidmatan dan bukannya permainan wang (money game).

5. Tidak diwajibkan bagi si ahli menjual jumlah tertentu bagi memperolehi komsiyen dari orang bawahannya.

6. Setiap ‘upline' atau orang di sebelah atas mestilah menaruh usaha atas jualan orang bawahannya, seperti mengadakan perjumpaan taklimat, motivasi dan teknik berkempen secara terancang seperti sebuah syarikat yang pelbagai ahlinya. Ia perlu bagi melayakkannya menerima komisyen itu dari sudut Shariah, jika tidak adalah dibimbangi ia akan terjerumus kepada keraguan ‘syubhah'. Ini kerana konsep niaga dalam Islam tidak membenarkan suatu keuntungan dari sesuatu perniagaan yang diperolehi tanpa usaha. Justeru, sedikit usaha perlu dicurahkan bagi menjadi sebab haknya ke atas komisyen. Perlu diingat, kebanyakan ahli di kaki yang 10 ke bawah, mungkin tidak mengenalinya lantaran ia dilantik oleh orang bawahannya yang kesembilan. Jika tidak, apakah haknya untuk mendapat komisyen yang demikian berangkai dan begitu jauh ?.

7. Tidak menggunakan skim piramid iaitu skim siapa masuk dulu akan untung selamanya. Manakala hak mereka yang masuk kemudian akan berkurangan. Justeru, plan pemasaran mestilah memberikan hak kepada semua, malah orang bawahan mampu mendapat keuntungan lebih dari orang atasannya, apabila ia mampu menjual dengan lebih hebat.

8. Mempersembahkan system komisyen dan bonus yang telus dan boleh difahami dan dipantau oleh ahli dengan jelas. Ia bagi mengelakkan segala jenis penipuan.

9. Menstruktur plan pemasaran di anatara ahli dan orang bawahannya secara musyarakah iaitu perkonsgian untung dan rugi berdasarkan modal masing-masing dengan nisbah pembahagian keuntungan yang ditetapkan di peringkat awal lagi.

Lampiran 2

Keputusan Majma Fiqh Sedunia ?

Kesatuan Fiqh Sedunia (Majma' Fiqh Islami) pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas yang disifatkan sebagai haram kerana ia adalah salah satu bentuk perjudian. Selain itu, keputusan itu juga menafikan bahawa komisyen yang digunakan adalah komisyen atau upah ‘brokerage' sebagaimana didakwa. (Rujuk keputusan nombor 3/24, 17 Julai 2003). Selain itu, Syeikh Salim Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa pengharaman dengan katanya : "Banyak pertanyaan berkenaan perniagaan yang diminati ramai. Yang secara umum gambarannya adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya, dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan demikian selanjutnya. Setiap anggota membayar yuran pada syarikat dengan jumlah tertentu dengan angan-angan mendapat bonus, semakin banyak anggota dan memasarkan produknya maka akan semakin banyak bonus yang dijanjikan. Sebenarnya kebanyakan anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil motivasi bonus yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya dalam waktu yang sesingkat mungkin, padahal ia langsung tidak menginginkan produknya. Perniagaan jenis ini adalah perjudian murni, kerana beberapa sebab berikut, iaitu:

Ø Sebenarnya anggota MLM ini tidak mahukan produknya, akan tetapi tujuan utama mereka adalah menyertai rangkaian piramid bagi mendapatkan kekayaan cepat apabila setiap ahli baru membayar yuran.

Ø Harga produk yang dibeli sebenarnya tidak sampai 30% dari wang yang dibayarkan pada syarikat MLM.

Ø Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan individu secara berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan anggota yang berada pada level atas (Upline) sedangkan level bawah (downline) selalu memberikan nilai point pada yang berada dilevel atas mereka.

(Dipetik dari arikel Us. Zaharuddin; “Isu Shariah Dalam Perniagaan MLM” dalam laman web; www.zaharuddin.net)

Lampiran 3

FATWA TENTANG MELETAKKAN SYARAT BAGI MENDAPAT KOMISYEN

Soalan; terdapat satu system jualan produk yang diperkenalkan oleh beberapa syarikat yang diringkas seperti berkut;

Syarikat menawarkan kepada orang yang berminat menjadi wakil/pengedarnya untuk terlibat mempromosi barangan/produk keluarannya dengan satu kadar komisyen tertentu (cthnya 10%) bagi setiap produk yang dijual, namun syarikat meletakkan syarat komisyen tersebut tidak akan diberikan melainkan wakil/pengedar melakukan jualan dengan jumlah tententu yang ditetapkan Syarikat. Adakah ianya harus?

Jawapan;

Polisi jualan tersebut adalah harus. Ia tidak lain merupakan langkah Syarikat melakukan akad al-Ji’alah (pemberian bersyarat) dengan pengedarnya sebagai imbalan mempromosikan jumlah tertentu dari barangan/produk Syarikat. Jika ia berjaya melakukan jualan dengan jumlah tersebut, berhaklah ia untuk mendapat komisyen yang dijanjikan itu. Jika tidak, tidak berhaklah ia mendapatnya. Masalah ini termasuk dalam bab al-Ji’alah (pemberian dengan bersyarat). Sekalipun ada kemungkinan akan berlaku kepada wakil/pengedar mereka berpenat saja tanpa imbalan apabila tidak berjaya mencapai jumlah jualan yang ditetapkan itu, perkara tersebut tidak akan menjejaskan keharusan mu’amalah tersebut. Ini kerana telah sedia dimaklumi (dalam Fiqh) bahawa akad al-Ji’alah harus berlaku padanya al-Jihalah dan al-Gharah (yakni ketidakpastian) walaupun unsur tersebut tidak harus berlaku dalam al-Ijarah (akad sewaan).

(Fatwa dipetik dari buku Fiqh al-Mu’amalat al-Maliyah al-Muqaran, tulisan Syeikh Dr. ‘Alauddin Za’tari,, hlm. 338, ter. Dar al-‘Ashma’, Damsyiq, Syria, 2008. Penulis adalah pensyarah Fiqh dan Ekonomi Islam di University Ummu Darman, Syria dan Kolej University Islam di Lubnan. Beliau memiliki laman webnya sendiri; www.alzatari.org).

utk fatwa lengkap dari Majlis Ulama Indonesia: http://www.scribd.com/doc/5038274/fatwa-hukum-mlm

0 ulasan: